Isnin, 19 Mac 2012

Ujikaji Kehadiran Klorin Di Dalam Air Paip

Baru-baru ini, aku telah dimaklumkan oleh penyelia aku untuk membuat satu ujikaji mengenai kehadiran klorin di dalam air paip kegunaan harian kita. Pada mulanya, aku agak gusar untuk melakukan ujikaji ini. Almaklumlah, aku bukanlah berlatar belakangkan pendidikan berteras Sains, aku adalah seorang budak electrical engineering. Cheywahhh! Manalah aku tahu tentang ujikaji-ujikaji ini semua. Kalau cerita mengenai volt ka, ampere ka, resistance ka boleh la aku 'goreng'. Ni dah masuk bab cerita-cerita Chemistry. Cuma, adalah sedikit asas mengenai Ilmu Kimia ni sewaktu aku mempelajarinya ketika zaman SPM dulu. Itupuh sekitar tahun 1996-1997. Dah hampir 15 tahun dah aku tinggal! Kalau My Chemical Romance tu aku tau la jugak serba sedikit. Hehehe.

Setelah menerima 'mandat' dari penyelia aku, maka aku pun memulakan ujikaji seperti yang diarahkan. Sebenarnya ujikaji ni tak lah sesusah mana pun. Aku dikehendaki menggunakan teknik colorimetry. Sebenarnya aku pun tak tahu tentang prinsip-prinsip kaedah ini pada asasnya. Tapi berpandukan pada manual yang dibekalkan, aku rasa ia tak susah mana pun. Budak-budak background Sastera pun boleh buat benda nih. Cuma nak dengan tak nak ja. Tapi kalau tanya budak-budak background Sains aku rasa diorang tahu 'benda-benda' nih dan aku rasa diorang juga mampu untuk menghuraikan kaedah ni dengan lebih lanjut. Ataupun, untuk lebih cepat dan mudah, anda semua boleh membuat rujukan melalui Wikipedia. Macam-macam ada kat sana.

Inilah colorimeter yang aku pakai
Benda utama yang aku gunakan dalam ujikaji ini adalah Colorimeter. Colorimeter yang aku gunakan ini adalah dari jenis Hach DR 890. Aku pun tak tahu alat ni adalah keluaran yang terkini atau tidak. Mungkin orang-orang yang terlibat secara langsung di dalam ujikaji makmal tahu tentang model ini. Sebenarnya alat ini telah 'tersimpan' lama di dalam Stor Teknikal tempat aku berkerja dan jarang digunakan sejak diterima dari Ibupejabat. Apa yang aku tahu pembelian alat ini adalah untuk menjalankan ujikaji insitu kepada pencemaran air. Tetapi disebabkan oleh manual alat ini dicetak dengan menggunakan bahasa penjajah, maka tiada siapa ingin mengambil peduli tentang alat ini. Maka tersimpanlah ia sebegitu lama di atas rak di dalam Stor Teknikal pejabat aku. Dari pencarian aku  menggunakan bantuan Encik Google, alat ini berharga lebih kurang RM 3k. Fuh! Mahalnya. Duit rakyat. Hehehehe.


Sampel air paip yang diisi di dalam bekas sampel

Sampel ujikaji ini adalah air yang telah dirawat. Air ini aku perolehi dari paip di pantry pejabat aku. Aku masukkan ke dalam bekas sampel seperti yang terdapat pada gambar di atas sebelum ujikaji dijalankan. Ok, sebelum tu, adakah korang semua tahu tentang kesan sampingan akibat penggunaan klorin yang berlebihan? Aku pun sebenarnya tak dapat nak pastikan sejauh mana kesan klorin ni kepada manusia. Jadi, kepada sesiapa yang tahu tentang kesannya boleh la kita kongsi-kongsikan nanti.

Ujikaji yang aku lakukan ini adalah untuk kaedah 10 ml sampel air paip sahaja. Sampel air paip disedut dengan menggunakan 10 ml glass pipet bersama pipet filler. 10 ml sampel air paip tersebut diambil daripada bekas sampel air yang telah aku takung tadi. Selepas sampel air disedut ke dalam pipet, ia di masukkan ke dalam botol ujikaji berisipadu 10 ml.

10 ml sampel air paip diambil dengan menggunakan 10 ml glass pipet  with pipet filler

Sampel air paip 10 ml di masukkan ke dalam botol ujikaji berisipadu 10 ml

Botol ujikaji yang telah diisi dengan 10 ml sampel air paip

Setelah 10 ml sampel air paip dimasukkan ke dalam botol ujikaji, botol tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam alat colorimeter. Terdapat satu slot khas yang terdapat di bahagian atas colorimeter tersebut. Di situlah tempat colorimeter tersebut diletakkan. Ia seperti yang terdapat di dalam gambar di bawah. Maka sampel ini dikenali sebagai blank sample.


Botol ujikaji dimasukkan ke dalam slot khas yang terdapat pada alat colorimeter

Setelah botol ujikaji tersebut diletakkan di dalam slotnya, maka ia perlu ditutup dengan penutupnya. Tok guru aku kata, penutup tersebut perlu untuk mengelakkan interference yang boleh mengganggu spektrum cahaya yang menganalisa kandungan blank sample tersebut.


Penutup alat colorimeter ditutup dengan bagi mengelakkan berlakunya interference

Apabila blank sample selesai dianalisa, akan terpapar pada skrin alat colorimeter menunjukkan 0.00 mg/l. Sebenarnya aku tak berapa arif sangat, mengapa 0.00 mg/l itu timbul pada skrin colorimeter. Kalau diikutkan logik akal, seharusnya alat ini telah berupaya untuk mengesan jumlah klorin yang hadir di dalam blank sample  tersebut. Ini cuma teori akal fikiran aku yang tak berapa terer ni. Tapi, ia mungkin ada sebab mengapa blank sample ini diperlukan di dalam teknik calorimetry ni. Yelah kan, dah ciptaan saintis, geng-geng bijak belaka, mesti ada alasan di sebalik setiap apa yang diciptakan oleh mereka.

Sebiji lagi botol pengujian diisi 10 ml sampel air paip perlu aku sediakan. Tapi pada botol pengujian ini aku masukkan sedikit DPD Chlorine Free Reagent. Botol pengujian inilah yang akan digunakan untuk pengukuran jumlah kehadiran klorin bagi setiap 10 ml air paip. Mengapa perlu menggunakan DPD Chlorine Free Reagent ini, tidak perlulah aku terangkan kat sini. Sebab aku pun hanya merujuk kepada manual cara pengujian. Dah manual  cakap macam tu, aku pun follow je la.

Bila DPD Chlorine Free Reagent ini dimasukkan ke dalam botol pengujian yang berisi 10 ml sampel air paip, warna air sampel di dalam botol pengujian tersebut akan perlahan-lahan bertukar daripada jernih menjadi warna merah jambu. Botol pengujian yang berisi sampel 10 ml air paip itu juga perlu digoncang perlahan-lahan agar reagent tersebut bertindak balas secara sekata.

Ini lah DPD Chlorine Free Reagent yang aku gunakan
Cara membuka pek reagent sebelum ia dimasukkan ke dalam botol pengujian

Reagent dimasukkan perlahan-lahan ke dalam botol pengujian
Sampel air paip bertukar kepada warna merah jambu apabila dicampur reagent

Setelah aku mencampurkan reagent ke dalam botol pengujian, barulah aku letakkan botol pengujian tersebut ke dalam colorimeter untuk dianalisa berapakah kandungan klorin di dalam setiap 10 ml sampel air paip.


Sampel 10 ml air paip dicampur reagent dianalisa menggunakan colorimeter

Hasil daripada analisa yang dilakukan, aku dapati, hanya 0.31 mg/l klorin yang dikesan menggunakan teknik colorimetry. Ini bermakna, air paip yang dibekalkan ke rumah-rumah kita untuk kegunaan harian masih lagi selamat untuk digunakan. Berpandukan standard WHO, air paip yang dirawat perlulah mematuhi piawai 1 mg/l bagi kawasan yang tertakluk dengan standard A manakala 2 mg/l untuk standard B.

Inilah hasilnya 0.31 mg/l

Di sini aku mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan pendapat ataupun komen-komen dari anda semua mengenai ujikaji ini. Sebarang pendapat atau komen yang diberikan perlulah bercirikan membina agar sama-sama kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sekian.




Selasa, 6 Mac 2012

Sedetik Pencarian Rezekiku...


Bangunan tempat aku berkerja
Posted by PicasaKerja. Satu perkara yang perlu dilakukan oleh semua umat manusia di atas muka bumi ini. Bagi yang mampu dari segi keupayaan tenaga, kerja perlu dilakukan demi mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Rezeki perlu untuk memberi penambah baikan di dalam kehidupan ini. 

Bermacam-macam jenis kerja pernah aku lakukan selapas aku meninggalkan bangku persekolahan. Bermula dengan mencuci pinggan mangkuk di sebuah gerai, hinggalah aku menjadi seorang tukang cuci pinggan mangkuk secara 'profesional' di sebuah hotel di Pulau Langkawi. Pengalaman menjadi seorang budak pam minyak juga pernah aku lalui selain daripada kerja-kerja 'kolar biru' seperti menjadi seorang pendawai elektrik yang perlu berdepan dengan suasana tempat kerja yang kotor  dan bahaya hampir setiap hari. Jurujual di sebuah kedai telekomunikasi, pekerja kilang dengan syif 12 jam sehari dan akhirnya aku mendapat kerja tetap yang menjamin masa depan aku di samping suasana pejabat yang tenang telah membuatkan aku 'kekal' di tempat ini sehingga hampir 9 tahun lamanya.

Pengalaman-pengalaman pekerjaan inilah yang membuatkan aku matang di dalam soal kehidupan. Pengalaman yang telah aku lalui itu banyak membantu aku dalam menangani situasi yang agak sukar dalam hidup aku. Sedikit sebanyak ia menjadi 'cikgu' kepada aku setelah aku meninggalkan alam pekerjaan.

Kerja yang aku lakukan sekarang ini adalah amat besar tanggungjawabnya. Mungkin ramai yang tidak sedar akan kehadiran aku bersama kerja aku di dalam masyarakat kita setiap hari. Kehadiran aku bersama kerja aku memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan umat manusia sekalian.  Sekurang-kurangnya, aku telah menjalankan kewajipan aku sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Skopnya amat besar, dari Utara ke Selatan, dari Timur ke barat, dari udara ke lautan dan dari mata turun ke hati. Jadi mesti ramai tertanya-tanya, apakah pekerjaan aku yang sebenarnya. InsyaAllah, aku akan cuba terangkan sedikit demi sedikit di kesempatan akan datang. Apa pun aku amat enjoy dengan pekerjaan yang aku lakukan sekarang. Walaupun kadangkala ia ada memberikan sedikit tekanan kepada diri aku, tetapi aku anggap ia merupakan suatu cabaran kepada diri aku untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.

Suasana pejabat aku bila semua kengkawan keluar buat kerja luar
Aku kerja 9 jam sehari. Masuk 7.30 pagi keluar 4.30 petang. Saja aku suka masuk awal pagi sebab aku boleh balik awal petang. Sebenarnya boleh balik awal dari orang lain. Tapi seksanya bila nak datang punch card awal-awal pagi kat pejabat tu. Alahai! tak tahannya. Kadang-kadang aku terpaksa race dengan budak-budak sekolah untuk sampai ke pejabat aku. Tapi yang seronoknya, bila masa nak balik. Laju ja dari orang lain. Hehehe.

Kerja aku banyak terikat dengan kerja-kerja lapangan. Kadang-kadang selama 9 jam, seharian aku tiada di pejabat. Jadi, siapa nak datang cari aku kat pejabat kenalah buat appointment dulu. Bukan apa, kadang-kadang takut si pencari ni hampa sebab tak dapat jumpa aku. Kawan-kawan 'kamceng' sekerja dengan aku ialah kakak-kakak kat Jabatan Kimia, abang-abang handsome kat Angensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan abang-abang macho kat Unit Udara Polis. Tanpa diorang semua ni kerja aku agak sulit untuk diselesaikan. Selain itu, abang-abang Long Polis Trafik dan abang-abang Ngah JPJ pun merupakan 'sahabat setia' dalam tugas seharian aku.

Aku berharap semoga setiap detik aku melakukan pekerjaan aku akan menjadi ibadah yang diterima oleh Allah hendaknya. Amin Ya Rabbal Al Amin. Di kesempatan ini jugak aku ingin merakamkan penghargaan aku kepada Makcik Piah, Pak Uda, Arwah Abang Lin Caltex, Abang Man a.k.a Mohd Hassan, Encik Wan Rosli, Cikgu Halim dan Encik Mohd Ishak. Disebabkan mereka inilah aku mengenali dunia pekerjaan dan baru aku mengerti betapa peritnya untuk kita mendapat 'sesuap nasi'.

Isnin, 5 Mac 2012

Bermula Sebuah Detik...


Posted by PicasaTup tap tup tap... tiba-tiba aku 'terasa' teringin untuk aktif kembali di dalam dunia blog. Aku pun telah mencipta satu lagi blog untuk diri aku. Dah berapa banyak dah blog yang pernah aku cipta sebelum-sebelum ini. Tapi semuanya hanya sekerat jalan. MALAS! Itu adalah satu-satunya musuh yang menghalang untuk aku updatekan setiap blog yang pernah aku cipta. Harapnya untuk kali ni perasaan tu tak akan menyelubungi dan tak akan datang lagi di dalam diri dan jiwa aku, sekurang-kurangnya buat masa sekarang ni. Harap-harapnyalah. 


Mesti ada yang tertanya-tanya, mengapa aku memilih gambar sebatang pokok yang mati untuk dimasukkan ke dalam entri ini. Jawapannya mudah, sebab gambar pokok tersebut akan cepat mengingatkan diri aku  tentang kematian. Itu saja sebabnya. Tiada alasan lain selain daripada itu. Heh! 


Aku berharap dengan adanya blog yang aku namakan SEDETIK LEBIH ini, dapatlah ia membawa perubahan di dalam kehidupan aku. Sekurang-kurangnya ia menjadi memori kehidupan aku yang sempat aku rekodkan. Kalau tak banyak pun, sedikit jadilah... Mengapa SEDETIK LEBIH? Macam tajuk lagu Anuar Zain saja. Bagi aku SEDETIK LEBIH memberi maksud kepada diri aku mengenai nikmat kehidupan anugerah Illahi kepada umat manusia. Setiap detik kita menghembuskan nafas, maka setiap detik itu jugalah kita menikmati perjalanan hidup kita. Betapa indahnya perjalanan hidup ini. Disebabkan oleh keindahan dan kenikmatan hidup yang telah kita kecapi itu seharusnya kita tidak  melupai untuk bersyukur dan mendekatkan diri kita kepadaNya.


Aku juga berharap, melalui SEDETIK LEBIH ini dapatlah kiranya aku berkongsi segala maklumat yang berguna di dalam kehidupan melalui medium dunia tanpa sempadan. Aku juga mengalu-alukan pandangan, komen dan idea-idea yang bernas dari rakan-rakan siber yang sudi berkongsi dengan aku. Semoga ia menjadi platform kepada kita untuk merapatkan ukhwah dengan lebih jitu. InsyaAllah